KUALA LUMPUR – Selepas episod letak jawatan dan keluar parti membabitkan ahli dan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menerima nasib sama hari ini.

Seorang lagi pemimpin parti itu yang memegang jawatan pemimpin kanan Srikandi PPBM mengumumkan peletakan jawatannya dalam parti yang ‘masih hijau’ itu.

Individu yang dimaksudkan adalah Exco sayap wanita PPBM, Zulaiha Sidek.

Zulaiha membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan di Ipoh, Perak.

Menurut Zulaiha, tindakan itu diambil atas pertimbangannya sendiri malah tiada desakan daripada mana-mana individu.

“Keputusan ini adalah atas desakan diri sendiri sebagai tanda sudah muak dengan kemelut dan pergolakan dalaman parti,” katanya memetik laporan online sebuah akhbar tempatan.

Selain memegang jawatan exco Srikandi PPBM kebangsaan, Zulaiha juga dipertanggungjawabkan selaku Ketua Penaja Srikandi PPBM Batu Gajah.

Turut melepaskan jawatan ialah Ketua Penaja Srikandi Gopeng, Aflatuniah Md Norani.

Bekas pengasas parti itu, Kamarul Azman Habibur Rahman mengambil tindakan sama meninggalkan PPBM bulan lalu atas alasan kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih dalam parti. -MalaysiaGazette.