KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) diminta memantau proses lelongan rumah bermasalah yang banyak menganiaya pengguna dengan menetapkan undang-undang yang tidak bersesuaian selain mengarahkan bank melakukan lelongan mengikut harga pasaran.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya telah menerima 10 aduan pengguna berkaitan isu lelongan rumah bermasalah yang tertekan dengan situasi  yang mana syarat lelongan tidak masuk akal dan membebankan.

Menurut Nadzim terdapat kes di mana ada empat kali lelongan dilakukan untuk rumah yang sama dalam tempoh hanya dua bulan yang mana setiap kali lelongan, harga diturunkan sebanyak 10 peratus.

“Ini membebankan pengguna, kerana harga rumah turun mendadak dalam tempoh dua bulan.

“Walaupun ada di kalangan mereka telah berjaya mengumpul wang untuk menjelaskan hutang yang tertunggak, tetapi mereka tidak boleh jelaskan beberapa hari sebelum lelongan, sebaliknya perlu dibuat beberapa minggu sebelum tarikh lelongan.

“Jadi, pihak BNM perlu mengambil serius tentang perkara ini supaya ia tidak memberi kelonggaran bagi mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan ke atas pengguna,” kata Nadzim.

Beliau berkata demikian pada sidang media Syarat Lelongan Menzalimi Pengguna di ibu negara hari ini.

Nadzim seterusnya merayu pengubal undang-undang, pejabat menteri besar atau pihak berkuasa supaya mengkaji semula dasar Kanun Tanah Negara (KTN) yang memberi tempoh hanya tujuh hari untuk pemilik tanah membuat tebusan tanah tersebut sebelum dilelong.

“Jadi, saya berharap perkara ini diberi perhatian dan pembuat undang-undang perlu melihat semula Kanun Tanah Negara ini untuk memberi syarat yang lebih logik supaya tidak membebankan pengguna,” jelasnya.

Sementara itu, PPIM dalam sidang media sama turut melancarkan program siri jelajah Klinik Bebas Muflis (KBM) bagi membantu golongan muflis di negara ini.

Kini lebih 300,000 pengguna berada dalam keadaan muflis.

KBM merupakan program hasil kerjasama Jabatan Insolvensi.

Program tersebut akan dilancarkan pada 25 Mei di Hotel Sani Kuala Lumpur.

Menurut Nadzim, PPIM komited untuk membantu golongan tersebut sejak empat tahun lalu.

“Ini merupakan kerugian besar kepada ekonomi negara selain daripada keluarga mereka sendiri.

“Klinik ini akan terus dijalankan dan Jabatan Insolvensi sendiri akan membantu berunding dengan mereka yang muflis ini,” katanya. – MalaysiaGazette.