Kastam
Subromaniam Tholasy

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menghantar Notis Peringatan Mesra kepada 62,000 pendaftar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi memberi peluang mereka menyemak semula penyata masing-masing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Subromaniam Tholasy berkata, sebelum ini, pihaknya terlalu menumpukan kepada pendekatan pematuhan melalui penguatkuasaan di mana pembayar cukai tidak diberi bimbingan secara sempurna.

Bagi fasa pertama, pihaknya akan menghantar notis yang sama kepada 21,000 pendaftar GST sebelum 41,000 lagi pada fasa kedua secara atas talian.

“Pendaftar GST boleh menyemak perkara ini melalui TAP (Taxpayer Acess Point) masing-masing dan notis ini adalah khusus kepada syarikat-syarikat yang disyaki antara lain mengikrar dan membayar cukai GST yang kurang daripada sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Subromaniam memberitahu,  syarikat yang menerima notis berkenaan diberi peluang untuk membuat semakan, pembetulan atau pindaan kepada Penyata GST-03 yang telah diikrarkan sebelum ini dalam tempoh tiga bulan.

“Jabatan Kastam menasihati pendaftar GST supaya mengambil peluang ini untuk membuat pembetulan atau pindaan serta pembayaran kepada Penyata GST-03 untuk mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

“Tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah boleh diambil ke atas mana-mana syarikat yang masih enggan atau gagal mematuhi kehendak serta peruntukan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette