Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berucap pada Forum Anti-Corruption Agency (ACA) ke 8 anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pullman Hotel City Centre, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Rasuah bukan hanya melibatkan jenayah sahaja sebaliknya merupakan pembolehubah kepada lebih banyak aktiviti jenayah lebih kejam dengan pelbagai segmen merentasi negara.

“Dengan rasuah ia telah membuka pintu kepada eksplotasi kepada wanita, kanak-kanak dan lelaki yang terus diperdagangkan sebagai hamba, senjata kecil terus sampai ke destinasi keganasan, penyeludupan dadah akan sampai ke sempadan negara lain dan akan terus berkembang.

“Paling membimbangkan, rasuah akan terus menjadi pemusnah kepada pembangunan sesebuah ekonomi dan sosial negara tersebut dengan mencuri peluang rakyat untuk terus maju,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Anti-Corruption Agency (ACA) ke-8 di Pullman Hotel City Centre, Kuala Lumpur hari ini.

Justeru, Dzulkifli menyarankan seluruh agensi anti rasuah bagi komuniti Asia Pasifik berusaha menyebarkan mesej kepada masyarakat di negara masing-masing bahawa rasuah bukan satu tolenransi.

Menurutnya, jika ia melibatkan rasuah sama ada dalam jumlah dan kumpulan yang kecil atau paling besar, masyarakat perlu ada komitmen dan kesediaan untuk menghapuskannya.

“Jika kita tidak melakukannya sekarang, maka kita mengambil risiko melemahkan komitmen kita bersama untuk memerangi rasuah.

“Oleh itu, adalah penting bagi kita semua yang berada di sini hari ini di dalam forum ini, untuk membuat pembaharuan yang berkesan dan cara-cara yang lebih praktikal untuk membina budaya pencegahan dan integriti dalam masyarakat kita, jika kita ingin benar-benar mengekang kesan dan akibat daripada rasuah,” kata Dzulkifli.

Forum berkenaan dihadiri kira-kira 50 peserta dan pemerhati daripada enam agensi negara anggota dengan lapan agensi rasuah bagi menggalakkan kerjasama antara agensi pencegahan rasuah tersebut.

Antara negara yang terlibat adalah Indonesia, Korea, Taiwan, Brunei dan Singapura.

Objektif penganjuran forum itu bagi menjadi medan perkongsian pengalaman dan amalan baik dalam usaha mencegah dan membanteras rasuah dalam kalangan negara ahli.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai perkara yang menjadi isu utama seperti mengenal pasti dan membincang pendekatan pencegahan rasuah yang lebih berkesan dan menyeluruh termasuk pertukaran kepakaran dan bantuan teknikal.

Justeru dengan tema Peranan Masyarakat Ke Arah Perjuangan Menentang Rasuah dan Pembinaan Integriti bagi ACA Forum tahun ini, beliau berharap peserta dapat menumpukan perbincangan terhadap beberapa kolektif yang boleh diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat selain menggalakkan penglibatan masyarakat membasmi rasuah secara menyeluruh.

Penganjuran forum yang sama merupakan kali kedua anjuran SPRM selepas Forum ACA ke-2 pada 12 hingga 14 Oktober 2004 di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette.