KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menambah hukuman yang dijatuhkan ke atas bekas pengarah eksekutif Welli Multi Corporation Bhd (Welli Multi) – Ang Sun Beng dan Ang Soon An kerana mengemukakan maklumat kewangan yang mengelirukan kepada SC pada 2005.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM400,000 terhadap kedua-dua adik-beradik tersebut, masing-masing berusia 71 dan 67.

Panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Wira Mohtaruddin Baki bersama Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, sebulat suara mendapati bahawa jenayah yang dilakukan telah dirancang dan bertujuan untuk menipu pelabur dan pasaran modal.

Ketika menjatuhkan hukuman setimpal tersebut, ia memutuskan bahawa mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk melindungi pasaran modal dan seterusnya ekonomi negara.

Pada 2010, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menyabitkan kesalahan Ang Sun
Beng dan Ang Soon An kerana mengemukakan angka pendapatan mengelirukan
yang melibatkan jualan palsu berjumlah lebih RM141 juta dalam laporan tahunan
2005 Welli Multi, melaporkan keuntungan sebanyak RM5 juta sedangkan ia
menghadapi kerugian sebanyak RM35 juta.

Ang Sun Beng dan Ang Soon An telah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM400,000 atau penjara satu tahun, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah seksyen 122B(a)(bb) yang dibaca bersama dengan seksyen 122 ( 1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

SC telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap hukuman tersebut tetapi mahkamah pada 2016 menolak rayuan tersebut. SC kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Welli Multi, kemudiannya dikenali sebagai Energreen Corporation Bhd, ketika itu adalah sebuah syarikat tersenarai sebelum ini di Papan Kedua Bursa Malaysia.

Syarikat tersebut kemudian dinyah senarai pada 17 Ogos 2009. Ang Sun Beng
ketika itu merupakan Pengarah Urusan syarikat manakala pengarah bersama, Ang Soon An ialah seorang ahli Jawatankuasa Audit. – MalaysiaGazette