Gunung Everest

KATHMANDU – Pasukan penyelamat menemui mayat empat pendaki di Gunung Everest, menurut penganjur ekspedisi.

Penemuan baharu itu menjadikan angka kematian menjadi 10 orang.

Mayat para pendaki ditemui di dalam khemah di kem empat pada ketinggian 7,950 meter oleh pasukan penyelamat yang ke kawasan itu untuk mencari pendaki Slovak yang maut di atas gunung tersebut pada Ahad lalu.

“Kami tidak ada maklumat tentang mereka dan bagaimana mereka meninggal dunia,” kata Sherpa Mingma.

Media tempatan melaporkan dua yang meninggal dunia itu adalah pendaki asing dan dua lagi adalah juru pandu Nepal.

Kawasan pergunungan Everest dilanda angin kuat menyebabkan ramai pendaki tidak dapat meneruskan pendakian.

Tahun ini sebanyak 373 permit telah dikeluarkan kepada pendaki asing ke puncak Everest dari sebelah Nepal, dengan 136 kebenaran lain diberikan untuk naik dari utara di Tibet.

Empat orang terkorban di puncak 8,848 meter pada hujung minggu lalu, termasuk seorang doktor Amerika, Roland Yearwood dan pendaki Slovak, Vladimir Strba.

Kedua-duanya mati di atas paras 8,000 meter – kawasan yang dikenali sebagai “zon mati” yang mana tahap oksigen berada pada tahap rendah, meningkatkan risiko penyakit ketinggian.

Mayat pendaki India, Ravi Kumar, 27, ditemui dua hari selepas dia meneruskan pendakian dan kemudian terputus hubungan.

Pendaki Australia meninggal dunia di sebelah Tibet pada Ahad lalu. – MalaysiaGazette