SINGAPURA – Harga minyak mentah global terus meningkat berikutan keyakinan OPEC akan melanjutkan pengurangan bekalan sehingga tahun depan.

Niaga hadapan Brent didagangkan pada AS$54.40 setong naik 0.82 peratus berbanding harga penutup manakala West Texas Intermediate (WTI) melonjak sebanyak AS$0.40 kepada AS$51.76.

Kedua-dua penanda aras itu meningkat lebih 16 peratus berbanding harga terendah pada bulan Mei.

Harga minyak telah meningkat selepas OPEC mencadangkan untuk melanjutkan pengurangan 1.8 juta tong sehari sehingga sembilan bulan lagi.

OPEC telah mengurangkan pengeluaran minyak pada bulan Januari lalu, sepatutnya berakhir bulan Jun ini.

“Persetujuan kukuh telah dicapai untuk mengurangkan bekalan akan dilanjutkan. Persoalannya sehingga bila,” kata bank Perancis, BNP Paribas.

Perunding Tenaga, Wood Mackenzie berkata, lanjutan sembilan bulan akan mempunyai sedikit impak kepada unjuran harga untuk 2017, dengan purata tahunan sebanyak AS$55 setong bagi Brent.

Wood Mackenzie menganggarkan lanjutan pengurangan pengeluaran minyak untuk sembilan bulan lagi akan menyebabkan peningkatan pengeluaran sebanyak 950,000 tong sehari di Amerika Syarikat, sekali gus melemahkan OPEC.

Menurutnya, pengeluaran minyak Amerika Syarikat telah meningkat lebih daripada 10 peratus sejak pertengahan 2016 kepada lebih 9.3 juta tong sehari kerana aktiviti penggerudiaan mengambil kesempatan daripada harga yang lebih tinggi dan jurang bekalan yang ditinggalkan oleh OPEC dan sekutunya.

Sekiranya mesyuarat di Vienna meneruskan lanjutan pengurangan bekalan, Wood Mackenzie meramalkan pasaran minyak semakin terhad dan berpotensi meningkatkan purata harga Brent sehingga AS$63 setong pada tahun depan.

Harga purata Brent adalah AS$53.90 setong pada tahun ini.

Sekiranya mesyuarat di Vienna gagal bersetuju pemotongan lanjutan, peniaga menjangka harga minyak jatuh kerana ini akan menyebabkan lebihan bekalan berterusan. – MalaysiaGazette