Pengerusi Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (KOMAWAS), Datuk Mohamed Farid Zawawi (dua kiri) bercakap pada sidang media mengenai perlaksanaan sekatan bayaran potongan gaji penjawat awam di pejabat KOMAWAS, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 MEI 2017.

PETALING JAYA – Koperasi-koperasi yang memberi pinjaman kepada kakitangan awam ‘sebulat suara’ menggesa kerajaan menangguhkan sekatan bayaran potongan gaji kasar melalui sistem gaji berkomputer (JANM) yang bermula bulan lepas.

Sebanyak 648 koperasi kredit yang aktif mahu kerajaan mengkaji secara terperinci sebelum memutus langkah melaksanakan sistem tersebut bagi mengelak implikasi terhadap koperasi-koperasi kredit dan juga kepada peminjam kakitangan awam.

Ini kerana, kakitangan awam yang meminjam tidak mungkin akan membuat bayaran terhadap baki pinjaman seperti biasa mengikut tanggungjawabnya ekoran terpaksa membayar sendiri secara manual sedangkan pada masa ini hutang mereka dibayar penuh menerusi potongan gaji yang dibuat melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Pengerusi Koperasi Wawasan Malaysia Berhad, Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, langkah drastik yang dibuat oleh kerajaan berhubung sekatan bayaran potongan gaji itu dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah keberhutangan serius kakitangan awam.

Katanya, ia hanya satu cara untuk menangguh hutang yang sememangnya ada dan jika diteruskan akan menimbulkan masalah lain seperti peminjam dikenakan tindakan undang-undang, disenaraihitam dan kemungkinan akan berlaku kemuflisan.

“Kerajaan mengambil keputusan itu tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan sektor koperasi. Cara yang dibuat oleh kerajaan ini sebenarnya tidak munasabah.

“Kita mahu menjelaskan kepada Jabatan Akauntan Negara bahawa ada cara yang lebih baik untuk selesaikan masalah yang dihadapi sekarang ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohamed Farid, langkah yang diambil oleh kerajaan itu telah menimbulkan huru-hara kepada koperasi kredit hingga menyebabkan mereka tidak boleh untuk memproses permohonan baharu.

S. Ahlaimuniandy

Pengarah Urusan Koperasi Perdanajaya Malaysia Berhad, S. Ahlaimuniandy pula berpendapat, dalam hal pembayaran balik hutang anggota koperasi ini ia lebih baik diurus secara konsisten keseluruhannya oleh koperasi.

“Jika penyelesaian tidak ditemui saya memberi cadangan supaya tempoh pembayaran semula dilanjutkan daripada 10 tahun pada masa ini kepada 15 tahun agar tidak membebankan ahli yang meminjam.

“Kalau boleh kita mahu agar diwujudkan satu institusi sentral yang mungkin boleh dimainkan oleh Angkasa untuk membuat potongan gaji untuk organisasi koperasi melalui satu saluran sahaja,” ujarnya.

Mengikut Pekeliling, mulai April lepas, Jabatan Akauntan Negara Malaysia melaksanakan sekatan bayaran potongan gaji penjawat awam sehingga maksimum 60 peratus dari jumlah gaji kasar melalui sistem gaji berkomputer JANM.

Ini bermakna penjawat awam yang mempunyai banyak potongan pinjaman dalam slip gaji perlu memastikan ia tidak melebihi 60 peratus.

Pegawai awam adalah bertanggungjawab untuk mengurus sendiri sebarang pembayaran potongan gaji yang tidak dapat dibuat potongan melalui sistem gaji.

Siti Rohani Abuyan

Sementara itu, Pengurus Besar Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad, Siti Rohani Abuyan pula berpendapat, bayaran balik 40 peratus secara manual oleh peminjam ke atas pinjamannya merupakan langkah yang menyusahkan.

“Bila hutang dalam akaun itu tidak dibayar kepada koperasi mereka diminta untuk berurusan sendiri, jadi benda itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

“Apa yang kita buat sebelum ini iaitu membuat potongan gaji kepada peminjam sudah cukup baik. Apa yang kita hendak ialah agar perkara ini tidak memberi kesan jangka panjang.

“Kita mahu perkara ini diselesaikan dalam suasana yang harmoni. Kita faham peranan kerajaan dan kita sebagai koperasi bukan kejar keuntungan tetapi kita melakukannhya kerana masyarakat,” ujarnya.

Justeru, koperasi-koperasi terbabit mencadangkan kepada kerajaan agar dapat mengatur satu forum dengan sektor koperasi bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian dalam mengatasi masalah itu. – MalaysiaGazette