BANGI- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) hari ini mencatat sejarah baru apabila menjadi institusi pengajian tinggi pertama berikrar membanteras rasuah secara serius di peringkat kampus.

Bacaan ikrar yang diketuai Rektor KUIS, Prof. Datuk Dr. Ab Halim Tamuri turut disertai lebih kurang 600 kakitangan KUIS, di hadapan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah, memuji usaha yang dilakukan oleh pihak pengurusan KUIS untuk membanteras gejala rasuah di peringkat institusi pendidikan.

Beliau dalam ucapannya turut mendedahkan, melalui satu kaji selidik yang dilakukan oleh pihaknya, mahasiswa yang masih dalam proses pembelajaran di kampus juga cenderung untuk melakukan rasuah sekiranya mendapat peluang.

“Ada satu kaji selidik, kita dapati bahawa mahasiswa ini kau ada peluang untuk melakukan rasuah, dia akan buat.

“Bagaimana mahasiswa yang masih belum ada apa sebarang jawatan, malah belum bekerja pun sudah cenderung untuk terlibat dalam gejala rasuah,” katanya.

Wan Ramli turut berharap agar ikrar yang dibuat hari ini menjadi kesinambungan hubungan swasta kerjasama antara SPRM dan KUIS dalam usaha bersama secara berterusan bagi memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa. – MalaysiaGazette