Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) membeli juadah berbuka puasa ketika melawat Bazaar Ramadhan Kampung Bharu di Kampung Bharu, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Peniaga-peniaga pasar Ramadhan dinasihatkan supaya tidak menindas pengunjung yang datang membeli di bazar sepanjang bulan puasa ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, sebagai peniaga muslim, penindasan terhadap pembeli tidak mencerminkan agama.

Tambahnya, antara bentuk penindasan yang biasa dilakukan oleh peniaga termasuklah meletak harga makanan yang tinggi serta menjual makanan yang sudah basi.

“Kepada penjual, saya rayu jangan jual terlalu tinggi(harga), jangan kata ada gst, jangan kata ada itu ini terpaksa jual tinggi.

“Dan lagi satu, tolong jaga kebersihan dan kualiti makanan, jangan jual makanan yang basi.

“Sepatutnya sebagai orang Islam, tak perlu saya ingatkan perkara ini. Saya hairan, sepatutnya orang Islam tak lakukan perkara-perkara yang saya sebut tadi.

“Saya ingatkan kepada diri saya sendiri dan penjawat awam, jangan tindas orang susah,” katanya di Kampung Baru hari ini.

Tengku Adnan atau Ku Nan, hari ini merasmikan tapak pasar Ramadhan berbumbung di Jalan Raja Alang, Kampung Bharu, KL.

Seramai 128 pemohon yang berniaga di tapak tersebut tanpa dikenakan sebarang permit dan bayaran daripada DBKL.- MalaysiaGazette