Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

JOHOR BAHRU – Usaha mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang hilang dalam kejadian bot terbalik dan karam di kawasan perairan Pontian petang Jumaat (26 Mei) diteruskan hari ini oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd Rizal Buang berkata, operasi mencari mangsa yang hilang, Mohd Syami Hasing, 16, bermula pukul 7 pagi oleh pasukan bomba dari Pontian Baru di Tambak Pontian.

Bagaimanapun, katanya, operasi hanya dilakukan di permukaan laut sahaja berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

“Aset-aset kita telah ditempatkan di kawasan berkenaan sejak semalam, yang kita telah hantar ke lokasi bot karam iaitu dua bot aluminium dan sebuah bot amfibia yang dinaiki tujuh pegawai operasi dan menyelamat serta empat orang pegawai Pasukan Menyelamat di Air (PPDA),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, lapan orang nelayan terjatuh dari bot yang dinaiki mereka selepas bot itu karam dipukul ombak di tiga lokasi berasingan iaitu di perairan Rambah, Penerok dan Pontian.

​​​​​​​Enam daripada nelayan terbabit berjaya menyelamatkan diri manakala dua lagi hilang.

Seorang daripada dua nelayan yang hilang, Muhammad Atif Hafifi Abd Manaf, 28, dijumpai mati lemas pada 8.35 pagi semalam oleh pasukan penyelamat di kedudukan satu batu nautika dari pantai Rambah.

Anggota dan aset milik APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam dan nelayan tempatan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu. – MalaysiaGazette