Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang (dua kanan) menunjukkan peralatan memproses dadah jenis ganja yang berjaya dirampas pihak polis pada sidang media berkaitan kes rampasan dadah yang menjalankan kegiatan pengedaran menggunakan laman sosial di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2017.
KUALA LUMPUR – Sindiket dadah yang menggunakan taktik mengaburi mata penguatkuasa dengan menjual dadah jenis ganja dalam bentuk produk makanan menerusi laman web dan media sosial di pasaran tempatan berjaya ditumpaskan.
Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dalam satu serbuan pada 26 Mei di Lembah Klang berjaya menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk  Kang Chez Chiang berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 58 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang.
Katanya, dalang utama yang menggelar diri sebagai doktor ganja’ dipercayai ketua sindiket berusia 58 tahun berjaya dicekup bersama suspek wanita yang merupakan isterinya.
“Hasil serbuan sekitar pukul 12.30 tengah hari hingga 8.20 malam dan pemeriksaan tiga suspek ditahan di dalam rumah itu.
“Polis berjaya merampas 18 batang disyaki pokok ganja, 4 kilogram tumbuhan dan serbuk disyaki dadah ganja, 72 kg benih ganja, 4 liter cecair  minyak ganja,” katanya dalam sidang media khas kejayaan itu di Bukit Aman hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang bercakap pada sidang media berkaitan kes rampasan dadah yang menjalankan kegiatan pengedaran menggunakan laman sosial di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2017.
Tambah beliau, dalam serbuan sama, hasil pemeriksaan lanjut polis juga merampas produk makanan disyaki mengandungi ganja, 70 keping coklat seberat 1.4 kg disyaki mengandungi ganja.
Malah katanya, 66 botol (125 liter) madu bercampur ganja, 21 botol (2 liter) marjerin ganja dan sembilan botol susu berjumlah seliter, dua biji kek (400gram) dan pes seberat 0.8kg kesemuanya mengandungi ganja dan alat memproses ganja turut dirampas.
“Modus operandi mereka itu sebenarnya mempromosikan diri sebagai ‘doktor ganja’ yang mengubati penyakit orang ramai menerusi produk ganja yang diproses sendiri.
“Mereka bergiat aktif sejak lima bulan lalu di sekitar Klang dan mempromosikan  produk makanan berasaskan ganja menerusi laman web dan juga media sosial Facebook, WeChat dan WhatsApp.
“Contohnya kek ganja dijual RM25 sebiji, madu sebotol RM50 ringgit dan coklat berharga RM5 sekeping sebagai alternatif mengubati pesakit yang tidak sembuh dengan rawatan di hospital,” ujarnya.
Katanya, ketiga-tiga suspek positif ganja menerusi ujian saringan kini direman selama tujuh hari sehingga 2 Jun ini untuk disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6b Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua nilai dadah yang dirampas dalam serbuan itu ialah RM16,000 dan harta yang disita pula RM5,000 iaitu kenderaan Ford Telstar.
“Ia merupakan kejayaan tangkapan ganja terbesar tahun ini oleh JSJN dan membongkar dadah melalui media sosial.
“Polis akan terus menyiasat secara terperinci  bagi mengealpasti rangkaian sindiket dan pembekal dadah ganja terlibat,” tegasnya lagi.
Bermula 1 Januari hingga 25 Mei lalu, JSJN berjaya melakukan tangkapan seramai 76,738 orang  atas kesalahan  mengedar dadah iaitu 10,552 orang (bekalan), 23,998 (memiliki dadah) dan 42,188 urin positif dadah.
Jumlah nilai rampasan dadah ialah RM99.36 juta dan nilai sitaan harta berjumlah RM64.15 juta dan harta bernilai RM1.28 juta telah dilucutkan setakat ini. – MalaysiaGazette

Comments are closed.