Sebahagian pegawai dan anggota polis negeri ini menjalankan rondaan dan pemantauan di lokasi yang menjadi tumpuan orang awam dalam usaha menbahkan keyakinan orang ramai atas tahap keselamatan di negeri ini.

JOHOR BAHRU – Sejumlah RM50,000 yang baru dikeluarkan seorang pengarah sebuah syarikat daripada sebuah bank dilarikan dua penyamun di Jalan Mutiara Emas, Taman Mount Austin di sini semalam.

Wang tersebut yang dikeluarkan untuk digunakan bagi membayar gaji pekerja syarikat lelaki tersebut dilarikan dua lelaki yang menunggang motosikal dengan memecahkan cermin kereta milik mangsa berusia 45 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian yang dipercayai berlaku pada 2.15 petang semasa mangsa berhenti makan selepas mengeluarkan duit itu.

“Selepas mengeluarkan duit, mangsa meletakkan beg plastik yang mengandungi wang itu di bawah kerusi kereta dan terus memandu sebelum meletakkan kereta di tepi jalan dan pergi makan di kedai berhampiran.

“Lebih kurang dalam dua minit berada di kedai makan, ada orang awam memaklumkan kepada lelaki itu cermin keretanya kena pecah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati, cermin bahagian pemandu pecah dan beg plastik yang mengandungi wang yang diletakkan di bawah tempat duduk pemandu telah hilang.

Sehubungan itu, Kamarul Zaman menasihatkan orang awam supaya berhati-hati semasa mengeluarkan wang dan tidak meninggalkan sebarang barangan berharga di tempat yang tidak sepatutnya.

Selain itu, tambahnya, pada masa sama, Jabatan Siasatan Jenayah turut mengambil tindakan pencegahan di seluruh negeri dengan menggerakkan pegawai dan anggota untuk melakukan pemantauan di tempat tumpuan orang ramai seperti di pasar raya, pusat beli-belah dan kedai.

Menerusi langkah yang diambil bermula semalam itu, katanya, seramai 217 orang di periksa selain turut dijalankan bagi mencegah kegiatan serta ancaman Daesh. – MalaysiaGazette.