SAMSUNG

MADINAH – Beribu-ribu botol air Zamzam yang dicemari telah dimusnahkan dan kilang pembotolan semula air Zamzam telah diserbu oleh pihak berkuasa di seluruh negara.

Operasi itu dilakukan bagi menghentikan pasaran gelap air Zamzam dan memastikan orang ramai dan jemaah umrah memperoleh air Zamzam yang asli.

Kerajaan Arab Saudi telah memberi kebenaran kepada beberapa kedai untuk menjual air berkenaan tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab menjual air Zamzam yang dicampur dengan air biasa.

Dalam operasi terbaharu, pihak berkuasa Madinah merampas lebih 3,000 botol air Zamzam yang dicemari dengan pelekat Projek Air Zamzam Raja Abdullah di kawasan letak kereta di kawasan penempatan.

Kementerian Perdagangan dan Pelaburan juga menutup kilang di Buraidah yang melakukan pembotolan semula dengan menggunakan air biasa.

Pihak berkuasa menemui 6.500 botol air Zamzam yang sudah dicemari.

Kementerian itu juga menemui sebuah gudang di Mekah yang menyimpan air Zamzam untuk dijual di kedai-kedai. Sebanyak 200,000 botol air telah dimusnahkan dan gudang telah disita.

Di Hail pula, sejumlah 1,600 air Zamzam tiruan ditemui.

Permintaan untuk air Zamzam meningkat pada bulan Ramadan kerana penduduk gemar minum air tersebut semasa berbuka puasa.

Jemaah umrah juga membeli air berkenaan pada kuantiti besar untuk dibawa pulang. – MalaysiaGazette