FGV
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 15 peratus daripada RM3.76 bilion kepada RM4.32 bilion pada suku
pertama 2017.

Prestasi itu disokong oleh pendapatan lebih tinggi dari sektor perladangan, logistik dan lain-lain (LO) serta gula, masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 11 peratus, 57 peratus dan 17 peratus.

FGV merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM2.47 juta, penambahbaikan sebanyak RM83.5 juta berbanding rugi selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM81 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, perolehan lebih tinggi pada suku pertama disebabkan prestasi baik dalam sektor operasi huluan dengan peningkatan sebanyak 16 peratus pengeluaran minyak sawit mentah (MSM), sekali gus mengurangkan kos pengeluaran (tidak termasuk kilang) sebanyak 5 peratus kepada RM1,739/MT tahun ke tahun.

“FGV juga berjaya mengurangkan perbelanjaan pentadbiran sebanyak 15 peratus berbanding tempoh sama pada 2016,” kata Zakaria.

Bagaimanapun, prestasi baik kumpulan telah dijejaskan oleh beberapa faktor seperti harga gula mentah yang tinggi iaitu RM2,697/MT (RM2,139/MT in 2016), rosot nilai daripada bayaran belum diterima dan peruntukan kerugian litigasi berikutan penahanan kapal masing-masing berjumlah RM29.61 juta dan RM32.79 juta.

Selain itu, hasil rendah daripada syarikat usaha sama disebabkan kadar tukaran asing yang diraih tanpa sedar lebih tinggi yang direkodkan pada suku pertama tahun lalu.

Sektor perladangan mencatatkan perolehan RM3.27 bilion pada suku pertama 2017 berbanding RM2.94 bilion tahun lalu dan kerugian lebih rendah sebanyak RM0.90 juta pada suku pertama 2017 berbanding RM82.2 juta tahun lalu.

Hiliran sawit mencatatkan pemulihan ketara apabila merekodkan keuntungan sebanyak RM65.8 pada suku pertama 2017 berbanding kerugian sebanyak RM96.8 juta pada suku pertama 2016.

Pemulihan hiliran sawit disumbangkan oleh harga MSM yang lebih tinggi iaitu RM3,061/MT
berbanding RM2,303/MT tahun lalu.

Pengeluaran MSM meningkat sebanyak 16% dari 485,000 MT pada suku pertama 2016 kepada 566,000 MT pada suku pertama 2017 selari dengan pengeluaran buah tandan segar (BTS) lebih tinggi daripada 0.78 juta MT kepada 0.80 juta MT.

Bagaimanapun, OER direkodkan lebih rendah iaitu 19.82% berbanding 20.56% pada tahun lalu disebabkan kadar hujan lebih tinggi.

Sektor LO mencatatkan penambahbaikan daripada rugi RM11.29 juta tahun lalu kepada untung sebanyak RM9.75 juta disebabkan peningkatan jumlah angkutan oleh bahagian pengangkutan kumpulan selari dengan peningkatan pengeluaran MSM.

Sektor gula mencatatkan kerugian sebanyak RM23.16 juta berbanding untung RM61.60 tahun lalu disebabkan harga gula mentah yang tinggi dan kelemahan ringgit walaupun mencatatkan jualan domestik lebih tinggi dan peningkatan harga siling oleh kerajaan.

Zakaria menjangkakan harga purata MSM akan menurun sedikit disebabkan peningkatan pengeluaran BTS dari Malaysia dan Indonesia untuk tempoh beberapa bulan akan datang.

Pengeluaran keseluruhan Malaysia tahun ini dijangkakan lebih rendah dari tahun 2015, selain masalah kekurangan tenaga buruh dilihat mampu menyederhanakan jangkaan harga MSM.

FGV jangka harga purata MSM sekitar RM2,550/MT dan RM2,750/MT untuk
separuh kedua 2017.

“Dalam perniagaan hiliran, kami akan terus membangunkan pasaran utama seperti India, China dan Asia Barat dan Afrika Utara (MENA). Kami akan sentiasa terbuka terhadap sebarang cadangan kerjasama strategik yang komersial dan meningkatkan nilai kepada pemegang saham.

“Bagi sektor gula, kami akan mengadakan rundingan berterusan dengan kerajaan dan
menerangkan mengenai ketidaktentuan pasaran komoditi gula dunia terkini dan kami
mengharapkan hasil yang baik dari rundingan berkenaan. – MalaysiaGazette