Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah
KOTA BHARU – PAS menasihatkan mana-mana pihak terutama anggota Parlimen bukan Islam agar tidak menyalahgunakan masjid sebagai pentas untuk ceramah politik walaupun dibenarkan menziarah.

Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata walaupun orang bukan Islam dibenarkan untuk menziarahi masjid namun dalam masa yang sama mereka perlu sopan dan menjaga tatacara dalam masjid.

“Kalau dia pergi sebagai seorang wakil rakyat bagi saya itu tak jadi masalah…(tapi) tak sepatutnyalah kalau guna untuk (tujuan) politik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan murka dan dukacita terhadap tindakan Anggota Parlimen Subang, R. Sivarasa, yang didakwa mencemarkan kesucian Masjid An Nur Kampung Melayu Subang apabila memberi ceramah berkaitan politik di masjid itu, Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim dipetik sebagai berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh baginda sendiri.

Mohd Amar berkata walaupun ramai wakil rakyat PAS menziarahi masjid dan surau terutama ketika Ramadan untuk bertarawih dan sebagainya, namun mereka tidak pernah sekalipun menggunakan tempat ibadat tersebut untuk mengadakan ceramah politik.

“Kita memang pergi ke masjid dan surau, cuma tak kempen pasal politiklah,” katanya.- BERNAMA