Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bermesra dengan seorang kanak-kanak pada majlis berbuka puasa di Bukit Jelutong, Shah Alam malam tadi.

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri mahu pelajar Malaysia di Manchester lebih lebih berhati-hati terutamanya mahu berkongsi dengan pelajar dari negara lain untuk tinggal di kediaman mereka.

“Ini wajar dilakukan memandangkan situasi kini di sana dengan kawalan ketat oleh pasukan keselamatan di sana,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Peringkat Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong pada malam ini.

Mengenai keadaan tiga pelajar Malaysia yang disoal siasat di negara berkenaan, beliau berkata, mereka berada dalam keadaan selamat tetapi ‘trauma’.

“Ini kerana ketika polis Manchester tiba di kediaman mereka, pintu-pintu yang berkunci telah dipecahkan.

“Namun kita faham keadaan yang sedang berlaku di sana (Manchester),” katanya lagi.

Dalam insiden pada 23 Mei lalu, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 59 cedera dalam satu letupan selepas berakhirnya konsert penyanyi Amerika Ariana Grande di Manchester Arena.- MalaysiaGazette