Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melakukan gimik Pelancaran Kempen Mysavefood @ Ramadhan di Bazaar Ramadhan, Presint 3, Putrajaya

PUTRAJAYA – Kempen MYSaveFood dijangka dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai pembaziran makanan yang berlaku terutama pada bulan Ramadan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kempen itu bertujuan untuk menghentikan pembaziran makanan dan usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak dan individu.

“Pembaziran makanan di Malaysia amat kritikal tambahan dengan ketibaan bulan Ramadan.

“Pada masa ini, pembaziran dijangka meningkat sehingga 20 peratus.

“Justeru, menerusi Kempen MYSaveFood, beberapa tips telah disediakan untuk pembeli dan peniaga sempena Ramadan bagi mengelakkan pembaziran berlaku,” katanya pada majlis pelancaran kempsn MYSaveFood di Bazar Ramadan, Presint 3 di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ahmad Shabery menambah, para pembeli digalakkan untuk membeli makanan yang perlu sahaja untuk mengelak pembaziran.

Jelas beliau, sempena Ramadan juga, pembeli turut digalakkan untuk mengambil saiz makanan yang mampu dihabiskan sahaja.

“Bagi peniaga pula, mereka digalakkan menyediakan makanan yang berkualiti dan selamat untuk dijual.

“Sekiranya ada makanan yang tidak terjual, bolehlah sumbangkan kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.

“NGO terlibat akan mengumpul makanan yang disumbangkan oleh peniaga dan menyalurkan makanan tersebut keluarga asnaf dan rumah anak yatim di kawasan berdekatan di Dengkil, Perdana Putra dan Puchong,” katanya.

Sementera itu, kempen MYSaveFood merupakan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, SW Corp, Perbadanan Putrajaya dan beberapa NGO.

Ia merupakan kesinambungan daripada pelancaran MYSaveFood di peringkat penjawat awam yang dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini. – MalaysiaGazette