Najib Razak. foto FAREEZ FADZIL, 31 MEI 2017

CYBERJAYA – Setelah mencapai 20 tahun kewujudan bandar Cyberjaya, kerajaan hari ini mengumumkan sebanyak 11 projek pembangunan di bandar pintar itu.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dimana salah satunya adalah Cyberjaya City Centre (CCC) yang menjadi sebuah lagi projek pembangunan berimpak tinggi yang menjadi kunci utama pelaburan di Cyberjaya.

“Sesungguhnya, projek ini merupakan game changer yang bakal melengkapkan lagi transformasi Cyberjaya sebagai hab teknologi global dan bandar pintar.

“Dengan nilai pembangunan kasar RM11 bilion, Cyberjaya City Centre bakal menyediakan satu ekosistem yang sempurna malah menjadi lokasi yang sesuai didiami membabitkan pembangunan bercampur seperti pembinaan pusat konvensyen, pangsapuri khidmat, ruang perniagaan runcit dan juga unit pejabat,” katanya dalam ucaptama pelancaran Bandar Pintar Cyberjaya di sini petang tadi.

Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Cyberview Sdn Bhd. merangkap Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Antara lain adalah, Penubuhan Pusat Big Data Asia di Cyberjaya koloborasi antaraCyberview Sdn Bhd dan sebuah syarikat China, Winhong Information Technology Co. Lt dan pembinaan Hospital Cyberjaya.

Ujar Najib, peranan yang dimainkan Cyberjaya dalam menyediakan perkhidmatan perkongsian dan menjadi hab penyumberan luar telah berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga terbesar dalam lapangan tersebut selepas China dan India.

Malah kira-kira 60 peratus daripada pusat-pusat data di Malaysia berada di Cyberjaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) diiringi Pengerusi Cyberview Sdn Bhd merangkap Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah (dua kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kanan) membuat gimik pelancaran Bandar Pintar Cyberjaya di Pusat Bandar Cyberjaya. foto FAREEZ FADZIL, 31 MEI 2017

Cyberjaya kini menempatkan lebih daripada 800 syarikat teknologi dengan 48 daripadanya adalah syarikat multinasional.

Malah menurut Najib, Cyberjaya telah menyalurkan pendapatan lebih RM12.5 bilion pada tahun lepas yang diperoleh daripada syarikat teknologi.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 28 peratus daripada tahun sebelumnya. Jumlah pelaburan syarikat-syarikat ini pada tahun 2016 sahaja mencecah lebih daripada RM8 billion.

“Apa yang lebih penting, Cyberjaya terus mengorak langkah maju ke hadapan dengan memainkan peranan yang lebih besar hari ini sebagai sebuah hab teknologi global yang menyumbang kepada ekonomi digital negara,” kata Najib.

Pada tahun 2014, Cyberview Sdn Bhd. telah diberi mandat membangunkan Cyberjaya dengan menyediakan pelbagai infrastruktur penting dan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk merangsang perkembangan teknologi tinggi di Malaysia.

Dalam pada itu, sejumlah RM100 juta disalurkan untuk Dana Inovasi Cyberjaya untuk Masa Depan bertujuan untuk menyokong penciptaan dan pemesatan inovasi.

“Dana bernilai RM100 juta ini merupakan dana geocentric yang unik untuk usahawan, startups mahu pun perusahaan kecil dan sederhana tempatan dan antarabangsa bertujuan menjadi pemangkin penciptaan harta intelek melalui proof of concept dan pembangunan perniagaan berskala bagi projek-projek bandar pintar Cyberjaya,” katanya.

Dana ini akan diuruskan oleh Cyberview Sdn Bhd. -MalaysiaGazette.