Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini mengajak umat Islam menghentikan tabiat buruk serta menjaga tutur sepanjang bulan Ramadan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tertarik dengan perkongsian Mufti Zimbabwe, Mufti Ismail Menk yang mengajak semua umat Islam supaya menghentikan segala tabiat buruk.

“Sama-samalah kita menjaga tutur kata, mengelak daripada tuduh-menuduh atau menyebar fitnah kerana perbuatan sebegini sangat merugikan dan boleh membawa kepada kemusnahan,” katanya dalam catatan blog www.najibrazak.com hari ini.

Najib percaya bahawa menjaga tutur kata bukanlah satu perkara yang asing, sebagai orang Islam atau sebagai orang Malaysia.

“Sejak di bangku sekolah lagi, kita telah diajar kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kalau dalam bahasa Inggeris, kata-kata If you have nothing good to say, say nothing sering digunakan sebagai peringatan atau pedoman,” katanya.

Najib berkata selain menahan lapar dan dahaga, umat Islam digalakkan menghayati Ramadan kerana bulan ini penuh keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT.

“Pahala ibadah dilipat gandakan dan Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa bagi sesiapa yang berpuasa penuh dengan keimanan dan keikhlasan.

Najib turut memetik hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun.”

Beliau berkata, umat Islam perlu mengambil peluang untuk menghayati dan meningkatkan pengisian ibadah sama ada dari segi rohani atau pun daripada akhlak.

“Semoga Ramadan kita tahun ini, lebih baik daripada sebelum ini, Insya Allah,” kata Najib.- MalaysiaGazette