Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Ekoran dituduh semakin mesra UMNO, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali tampil memberi penjelasan bahawa semua aktiviti mendekati UMNO adalah kerangka untuk membentuk budaya politik matang.

Katanya, Pas kini mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang menuntut agar parti itu berubah dan meninggalkan budaya politik lama.

“Budaya lama berpolitik sehingga berpatah arang berkerat rotan sudah berlalu. Generasi baru Malaysia menuntut satu perubahan dalam gaya berpolitik.

“Namun, segelintir ahli politik pembangkang yang tidak matang menjadikan gambar-gambar saya bersama dalam majlis-majlis tersebut sebagai isu dan modal politik murahan untuk kepentingan politik sempit mereka bagi mengheret rakyat terus menaja agenda politik kebencian tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berbeza dengan tindakan parti pimpinan Datuk Seri Adbul Hadi Awang yang nekad memutuskan tahaluf siyasinya dengan PKR dan mula mesra UMNO.

Khairuddin dipeluk erat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis berbuka puasa di Terengganu

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sebelum ini dilihat mesra bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis berbuka puasa.

Malah, Khairuddin turut dilihat menerima pelawaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman untuk bersama menaiki kenderaan rasmi beliau, sehari selepas itu.

Mengulas mengenai itu, Khairuddin berkata pendekatan baharu yang diamalkan Pas membolehkan wakil rakyat dan pimpinan Pas dilibatkan dalam pelbagai program kerajaan yang berkepentingan rakyat dan negara.

“Sebagai pembangkang Pas terus memberikan pelbagai pandangan kepada kerajaan serta mengkritik pelbagai dasar parti politik pemerintah yang tidak memberikan keuntungan kepada negara dan rakyat sebagai satu proses semak dan imbang,” jelas beliau.

Politik kebencian tidak berasas katanya, mungkin memberi keuntungan jangka masa pendek bagi setengah ahli politik namun ia merosakkan pembinaan tamadun bangsa dan negara untuk jangka masa panjang.

“Politik kepartian sepatutnya dibina atas asas menghormati perbezaan pandangan politik dalam pelbagai isu mendasar dan isu semasa tanpa merosakkan hubungan peribadi kemasyarakatan.

“Budaya politik ilmu, politik idea dan politik damai sejahtera perlu diwariskan kepada generasi mendatang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.