Jenazah Zulfarhan Osman Zulkarnain selepas selesai bedah siasat di Hospital Serdang, Kuala Lumpur.

SEPANG – Kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sehingga kini, pihak polis telah menahan reman 36 penuntut iaitu 32 daripada mereka adalah dari UPNM manakala empat lagi dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi membantu siasatan.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan Mahkamah Majistret Sepang selepas penuntut Fakulti Kejuruteraan Elektrik itu  meninggal dunia kira-kira jam 10 malam di Hospital Serdang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, beberapa rakan mangsa telah menghantarnya ke hospital untuk rawatan kerana mengalami kecederaan melecur dan lebam lebam.

“Tangkapan telah dijalankan ke atas 36 orang mahasiswa yg berumur 20 dan 21 tahun.

“Mereka terdiri daripada 32 mahasiswa UPNM dan empat mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (Uniten),” jelasnya.

Terdapat kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki  pegawai kadet laut tahun tiga itu dipercayai ditekap dengan seterika wap.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam Twitternya menyatakan rasa sedih dengan berita kematian mangsa.

“Innalillah… sedih dan pilu pagi ini dengar berita kematian Pegawai Kadet Laut @upnm, Zulfarhan Osman bin Zulkarnain. Al Fatihah.

“Saya telah arahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan UPNM untuk jalankan siasatan dengan kadar segera. Tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah, ” katanya. – MalaysiaGazette