Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin (dua kiri) berkenan menerima replika cek serahan zakat daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM27juta yang diserahkan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Wahid Omar (dua kanan) pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat Serta Perasmian Masjid An-Nur Temasya Glenmarie, Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 02 JUN 2017

SHAH ALAM – Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini menyerahkan zakat perniagaan bernilai RM27,013,600 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diwakili Sultan Selangor, Sultan Sharifudin Idris Shah.

Zakat tersebut disampaikan oleh Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar semasa majlis berbuka puasa di Masjid An-Nur Temasya di Glenmarie, Shah Alam.

Wahid berkata keupayaan PNB membayar zakat perniagaan kepada negeri Selangor serta negeri-negeri lain mencerminkan daya maju dan daya untung perniagaan PNB.

“Inilah natijah dan keberkatan daripada sokongsn padu pelabur bumiputera yang mahukan kaumnya maju dan progresif setanding dengan kaum lain di Malaysia,” kata Wahiz dalam ucapannya.

Pembayaran zakat oleh PNB ini dikira mengikut ‘haul’ dan ‘nisab’ yang sudah ditetapkan.

Pada majlis sama, Sultan Selangor juga berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 80 orang asnaf fakir, 185 orang asnaf miskin dan 121 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Baginda dalam titahnya juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak PNB kerana menunaikan zakat perniagaan mereka.

“Tidak lupa Beta mengucapkan penghargaan kepada PNB kerana menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM27 juta kepada Lembaga Zakat Selangor,” kata baginda. – MalaysiaGazette