Suasana di sekitar Bazar Jalan Tunku Abdul Rahman pada minggu pertama Ramadhan 2017. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Setiap kali memasuki bulan Ramadan, orang ramai akan tertumpu di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang kini dianggap syurga membeli belah barangan kelengkapan raya setiap tahun.

Walaupun banyak pusat beli belah yang kian menghimpit Jalan TAR, namun ia terus menjadi perhatian terutama bagi golongan pertengahan.

Keadaan panas terik ditambah lagi dengan kesesakan lalu lintas di situ tidak pernah menjadi penghalang bagi pelanggannya mengharungi jalan ini.

Dari pelbagai corak baju Melayu sehinggalah pelbagi jenis kuih raya boleh didapati disini, namun yang penting ia menepati citarasa masyarakat terutamanya masyarakat Islam.

Temubual bersama pegawai pemasaran, Mohd Amirul Zulkifli, 25 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

Menurut seorang pegawai pemasaran, Mohd Amirul Zulkifli, 25, Jalan TAR sememangnya menjadi pilihan utamanya untuk membeli keperluan hari raya mereka sekeluarga terutamanya baju Melayu.

“Macam biasa setiap tahun kami sekeluarga akan datang sini. Tujuan kami nak beli baju Melayu dan kuih untuk Aidilfitri. Selalu beli kuih tat sahaja kat sini. Harga yang ditawarkan di sini sesuai dengan kemahuan saya kalau nak dibandingkan dengan tempat lain,” katanya.

Faktor pelbagai pilihan yang ditawarkan di setiap kedai susur jalan TAR boleh menjadikan pelanggan rambang mata.

Malah ada juga masyarakat serumpun kita turut tertarik untuk turun ke jalan TAR, bagi merasai sendiri kemeriahannya.

Temubual bersama Surirumah, Laili Junaidi, 52 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

Bagi warga Brunei, Noor Bayu Abdullah, 45, Jalan TAR sememangnya satu pusat sehenti untuk semua, di mana segalanya keperluan Aidilfitri boleh beliau perolehi disini.

Bekas pramugari ini meredah ‘lautan manusia’ semata-mata untuk mencari baju Melayu untuk suami dan anak-anaknya.

“Di sini walaupun baru seminggu lebih berpuasa sungguh meriah. Saya kesini untuk cari tudung, kuih raya dan baju Melayu untuk anak-anak.

“Harga di sini amat berpatutan kalau dibandingkan dengan tempat lain. Setahu saya, kalau datang Kuala Lumpur musim Ramadan ini, memang akan turun Jalan TAR untuk cari persiapan raya kami sekeluarga,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Paling mendapat tumpuan, gerai menjual baju Melayu.

Antara yang menjadi pilihan hangat pelanggan, baju Melayu buatan kain kapas yang dapat menyerap peluh dan tidak panas apabila dipakai.

Temubual bersama Peniaga Baju Melayu, Hashim Harun, 23 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

“Sambutan hari ini meriah, banyak pelanggan yang datang beli baju Melayu kami. Nampak lebih meriah berbanding tahun lepas.

“Pelanggan akan cari baju Melayu kain kapas sebab menyerap peluh. Kami jual hanya RM98 sepasang. Selain baju Melayu, pelanggan juga mencari kurta rekaan terbaru dan sampin corak. Hari ini sahaja sudah 20 pasang terjual,” ujar pengusaha baju Melayu, Hashim Harun.

Gerai yang terletak di tengah-tengah Jalan TAR menjadi tarikan kepada pelanggan yang lalu lalang.

Hasil jualannya mencecah 20 pasang sehari, dan jumlah itu akan meningkat menjelang malam raya.

Turut menjadi tumpuan, tudung rekaan terkini yang menjadi ikutan remaja masa kini.

Temubual bersama Siti Nornadiah M. Suhaimi, 18 tahun. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

Seorang pelajar, Siti Nornadiah M. Suhaimi, 18 berkata, dia dalam usaha mencari tudung untuk koleksi baju rayanya dan di sini semua keperluannya seakan terhidang di depan mata.

“Saya datang sini sebab nak beli barang keperluan hari raya sebab kat sini ada buat pelbagai promosi yang murah dan berpatutan. Kita boleh buat perbandingan harga untuk setiap barang yang kita nak beli.

“Kebanyakan baju di sini mengikut trend terkini. Jadi senang untuk saya pilih dan beli. Malah tudung-tudung yang dijual juga murah dan cantik-cantik,” kata Siti Nornadiah. -MalaysiaGazette.