Gambar hiasan

MOSCOW – Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih berkata, pemotongan output minyak mungkin perlu dilanjutkan pada masa hadapan.

Bagaimanapun, OPEC dan negara-negara pengeluar utama lain akan menilai situasi pasaran pada Julai ini, demikian laporan agensi berita Rusia, TASS pada Sabtu.

OPEC dan negara-negara pengeluar minyak yang lain diketuai Rusia pada minggu lalu telah bersetuju untuk memanjangkan tempoh pengurangan output global selama sembilan bulan lagi, iaitu sehingga Mac 2018.

Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk memantau pemotongan bekalan itu dan mereka dijadualkan bermesyuarat di Rusia pada Julai.

Falih yang melawat Rusia minggu ini berkata, jawatankuasa tersebut mampu membuat keputusan sama ada pengurangan bekalan tersebut adalah efektif untuk menyokong harga minyak yang mana telah dikurangkan kepada separuh dalam tempoh tiga tahun disebabkan kemelut lebihan bekalan global.

“Kita perlu melihat kepada pasaran dan saya fikir pada akhir Jun ini, semasa pertemuan pada Julai kita boleh menilai sama ada tindakan kita ini telah memberikan impak yang besar.

“Namun sekiranya, kita ada alasan kukuh untuk melakukannya lagi, kita akan memberi pertimbangan termasuklah melakukan pengurangan yang lebih besar,” katanya.-MalaysiaGazette