Ibu pesakit leukimia, Azira Abd Aziz (tengah) menunjukkan gambar anak perempuannya ditemani suami di kediamannya, Seksyen 13, Shah Alam, hari ini. Foto Nizam Zain
SHAH ALAMIbu bapa mana yang tidak luluh hati apabila melihat anak mereka yang menghidapi leukemia atau kanser darah sejak tahun 2005 namun sampai sekarang belum ada penawar yang mampu memulihkannya.
 
Azira Abd Aziz, 39, berkata, penyakit anak perempuannya Tengku Nur Arianna Tengku Nash Irwanuddinvitu mula dikesan ketika berumur enam tahun dan sehingga kini dia telah menjalani lebih daripada 30 rawatan kimoterapi.
Hampir RM1 juta untuk membiayai kos rawatan anaknya namun ia masih tidak mencukupi memandangkan harga ubat yang diambil anaknya mencecah hingga RM20,000 setiap sesi.
Katanya, pada peringkat awal, kesihatan anaknya, Tengku Nur Arianna Tengku Nash Irwanuddin, 12, dijangka sembuh dalam tempoh lima tahun namun apabila masuk tahun keempat, sel kanser didapati masih merebak.
“Pada peringkat awal, saya ada gunakan sehingga RM300,000 dana yang dibiayai oleh insurans.Dalam tempoh dua tahun awal perbelanjaan ditanggung oleh insurans.
“Jangkaan pada mulanya Arianna sepatutnya boleh sembuh dalam tempoh tahun tahun. Malangnya tahun ke-4 penyakit itu datang balik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Selain pembiayaan insurans, Azira dan suami telah membelanjakan sebanyak RM200,000 hasil daripada cagaran rumahnya di Sekysen 13, di sini dan pinjaman daripada saudara-maranya.
Bagaimanapun dana itu masih tidak mencukupi dan memaksa Azira memohon pembiayaan kerajaan sehingga RM500,000 di mana RM300,000 perlu dilunaskan sehingga bersara dalam perkhidmatan awam.
Sehingga kini, Azira dan keluarga masih memerlukan sehingga RM600,000 untuk meneruskan rawatan anaknya dan dia menaruh harapan tinggi untuk Arianna kembali sembuh seperti kanak-kanak lain. – MalaysiaGazette.