Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap pemimpin PKR, R. Sivarasa yang masih berdegil kerana masuk berucap di ruang solat Masjid An Nur, Subang minggu lalu.

R. Sivarasa dalam satu majlis di Masjid An-Nur Kg Melayu Subang, Rabu lalu

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata Sivarasa mengabaikan peringatan yang diberikan oleh Sultan Selangor dan masih berbuat demikian sehingga mengundang kemurkaan baginda yang sudah menegur Ahli Parlimen Subang itu secara terbuka pada Jumaat lalu.

“Amaran sudah diberi beberapa kali tetapi masih lagi buat dan tidak mempedulikan amaran.

“Tindakan perlu dilakukan dengan lebih keras kepada golongan ini,” kata beliau dipetik dalam satu program di Masjid Darul Fikri, Bera hari ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titahnya murka dengan tindakan Sivarasa yang memasuki Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang minggu lalu.

Sultan Selangor bertitah, tindakan Sivarasa itu sudah melampaui batas kerana baginda sudah berkali-kali melarang mana-mana ahli politik daripada berucap di dalam masjid bagi mengelak perpecahan dikalangan umat Islam.

Sivarasa dikatakan memasuki Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, sebelum didakwa memberikan ceramah ketika berada dalam dewan solat.

Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati beberapa pihak.

Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut menyerahkan memorandum kepada JAIS disebabkan tindakan Ahli Parlimen berkenaan. – MalaysiaGazette