Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tion Lai bercakap pada Majlis Perasmian Buku Sejarah Penubuhan Kolej Tunku Abdul Rahman di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JUN 2017

KUALA LUMPUR Dua faktor utama telah dikenal pasti menjadi punca kepada nahas helikopter yang mengorbankan seorang timbalan menteri dan lima lain di Sungai Batang Lupar, Sarawak pada Mei tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, masalah cuaca dan juruterbang tidak mahir dengan keadaan persekitaran dikenal pasti telah menyebabkan helikopter berkenaan terhempas.

“Kalau juruterbang fasih dengan keadaan di sana (sudah pasti) boleh elak ribut, tapi juruterbang hanya ikut alat pengesan lokasi (GPS) dan terbang merentasi ribut itu.

“Kita dapati helikopter tersebut melalui kawasan ribut kerana masa itu laporan kajian cuaca juga menunjukkan kawasan kemalangan itu adalah kawasan hujan lebat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Buku Sejarah Penubuhan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) menunjukkan buku sebagai simbolik perasmian Buku Sejarah Penubuhan Kolej Tunku Abdul Rahman di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JUN 2017

Beliau mengulas laporan akhir nahas helikopter Kuching Sarawak telah siap dibentang ke Kabinet pada bulan lepas dan bakal dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk tatapan umum dalam masa terdekat.

Dalam nahas helikopter di Sungai Batang Lupar di Sebuyau, Kuching Sarawak pada Mei tahun lalu mengorbankan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan lima penumpang lain.

Dalam pada itu, Tiong Lai juga mencadangkan juruterbang asing menjalani kursus khas penerbangan helikopter dalam negara sebelum mereka dibenar menerbangkan pesawat itu di negara ini.

Tiong Lai juga berkata, ia bagi mengelakkan kemalangan udara berulang lagi seperti mana yang berlaku dalam tragedi helikopter di Batang Lupar, Sarawak pada Mei tahun lalu.

“Dalam laporan akhir, kita cadangkan mana-mana syarikat, individu atau agensi yang mahu menggunakan juruterbang luar negara perlu menjalani kursus dalam negara kita.

“Mereka perlu biasakan diri dengan suasana, cuaca dan keadaan sekeliling sebelum dibenarkan untuk menerbangkan mana-mana helikopter di negara ini,” jelasnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas insiden sebuah pesawat ringan persendirian yang terhempas di Lebuhraya Nusajaya-Pulai Johor, semalam, Tiong Lai berkata, laporan awal siasatan akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan.

“Saya telah mengarahkan siasatan dilakukan segera oleh bahagian siasatan dan keselamatan MOT untuk mendapat tahu punca kemalangan tersebut.

“Siasatan kini sedang dilakukan dan hasil laporan awal dijangka dikeluarkan bulan ini,” katanya lagi.

Awal pagi lalu, sebuah pesawat ringan per­sendirian dinaiki tiga lelaki termasuk seorang juruterbang dilaporkan terhempas di atas jejambat yang belum beroperasi di Lebuhraya Nusajaya-Pulai, menghala ke Bandar Baru Pulai Jaya, Johor. -MalaysiaGazette