KUALA LUMPUR – Eksport pada April mengekalkan memontum kukuh sejak awal tahun dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 20.6 peratus.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataannya berkata, import berkembang sebanyak 24.7 peratus sementara lebihan dagangan adalah RM8.75 bilion pada bulan tersebut.

Bagaimanapun katanya, jumlah keseluruhan dagangan, eksport dan import masing-masing jatuh 12.9 peratus, 10.5 peratus dan 15.6 peratus berbanding bulan sebelumnya disebabkan kesan asas tinggi pada Mac.

Bagi April, eksport gas asli cecair (LNG) dan minyak mentah disebabkan Nilai Unit Purata (AUV) dan volum telah mendorong peningkatan 51.8 peratus pada eksport barangan perlombongan pada April.

Eksport barangan pengilangan meningkatkan sebanyak 17.3 peratus kepada RM60.48 bilion yang mewakili 81.8 peratus penghantaran global Malaysia.

Bagi empat bulan pertama 2017, eksport barangan pengilangan mencatatkan nilai tertinggi dengan peningkatan sebanyak RM38.48 bilion atau 18.9 peratus pada RM241.95 bilion.-MalaysiaGazette