Pasukan polis masih mengawal ketat London. foto CNN

LONDON – Polis sudah mengetahui identiti penyerang-penyerang yang melakukan serangan di London malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, tujuh orang maut dan 48 orang lagi cedera.

Polis berkata, nama-nama identiti itu akan didedahkan sebaik sahaja operasi selesai memandangkan pihak berkuasa sedang menentukan sama ada mereka menjadi sebahagian daripada rangkaian yang lebih luas.

Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata, mangsa-mangsa adalah daripada pelbagai negara.

Buat masa ini, polis sedang mengesan beberapa individu yang beralamat di timur London.

Beberapa individu telah ditahan berikutan serbuan dilakukan di Newham dan Barking.

Seramai 11 orang telah ditahan di Barking pada Ahad lalu dan salah satu hartanah yang diserbu dipercayai kediaman salah seorang penyerang.

Tiga penyerang itu telah ditembak mati selepas mereka merempuh laluan pejalan kaki di London Bridge dan menikam mangsa di Borough Market.

Komisioner Polis Metropolitan, Cressida Dick berkata, pihaknya sedang memberi keutamaan kepada individu lain yang terlibat dalam plot serangan itu.

Kumpulan IS mendakwa bertanggungjawab atas serangan tersebut. – MalaysiaGazette