Presiden Pertubuhan Minda & Sosial Prihatin, Ramesh Rao. Foto SAFWAN MANSOR, 17 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam dicabar menggantung lesen peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas didakwa menerima dana RM9.5 juta daripada perdana menteri.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, sekiranya dakwaan portal Sarawak Report itu benar, beliau sewajarnya dihadapkan ke lembaga disiplin badan itu.

“Beranikah Majlis Peguam gantung Tan Sri Shafee?

“Majlis Peguam perlu berani gantung lesen Tan Sri Shafee jika apa yang didakwa oleh Sarawak Report adalah benar dan menyalahi undang-undang guaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 31 Mei lalu, Sarawak Report melaporkan ketua pendakwaraya dalam perbicaraan Anwar, dibayar RM9.5 juta yang disalurkan terus daripada akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dakwaan Sarawak Report juga menyebut dana daripada akaun milik Najib itu milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Ramesh juga mempersoalkan siapa yang membayar barisan peguam untuk membela pemimpin pembangkang jika terlibat dalam kes-kes mahkamah.

“Siapa yang bayar, caj untuk Anwar Ibrahim dan pemimpin politik pembangkang lain?

“Polis juga perlu siasat semua peguam yang merupakan ahli DAP dan PKR sama ada mereka ada terima bayaran untuk khidmat guaman dalam jumlah tinggi,” tegasnya.

Beliau turut mendesak Majlis Peguam untuk menggantung lesen semua peguam yang menerima​ bayaran besar daripada parti politik.

Ketika perbicaraan kes liwat Anwar, bukan sedikit tetapi ramai dan bagaimana mereka dibayar atas perhidmatan mereka, berapakah jumlahnya? ” soalnya- – MalaysiaGazette