Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Tan Sri Dr. Irwan Seriga (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad (kanan) menunjukan logo KWAP pada Majlis Sambutan Ulangtahun KWAP yang ke 10 di Pejabat Utama KWAP, Menara Integra, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Atas pencapaian memberangsangkan, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) sepanjang 10 tahun penubuhannya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melahirkan keyakinan badan persaraan itu mampu untuk meraih lebih lagi dana pada masa akan datang.

Keyakinan itu bersandarkan kepada saiz dana KWAP sehingga kini adalah berjumlah RM125 bilion.

“Sesungguhnya, KWAP akan terus melakar prestasi cemerlang  sebagai organisasi berprestasi tinggi.

“Saya difahamkan KWAP yakin dengan pertumbuhan di antara lapan peratus hingga 10 peratus setahun, dana KWAP akan berjaya mencapai angka RM500 bilion pada tahun 2050. Saya percaya unjuran ini akan dicapai,” katanya ketika berucap di majlis ulangtahun  ke 10 KWAP dan perasmian Menara Integra.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi KWAP, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pegawai  Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

Dalam pada itu, Najib turut melancarkan aplikasi MyPesara khusus  untuk pesara mendapatkan maklumat lanjut mengenai pesaraan mereka.

Sepanjang tempoh 10 tahun sejak ditubuhkan, KWAP telah merekodkan pencapaian dan prestasi yang amat membanggakan, kata Najib.

Saiz dana organisasi berkenaan berkembang dari RM42 bilion pada 2007 kepada RM125 bilion pada Disember tahun lalu.

“Dari jumlah  RM125  bilion, RM53.6 bilion daripadanya adalah hasil daripada penjanaan pendapatan pelaburan yang seterusnya akan digunakan untuk membiayai liabiliti pencen. Ini merupakan sebagai satu sumbangan KWAP terhadap negara dan para pesara,” tambah Najib.

Malah, KWAP telah mencatat pulangan kasar purata pelaburan sebanyak 6.5 peratus sejak 2007.

Selain menjalankan aktiviti pelaburan, KWAP turut dipertanggungjawabkan mengurus keseluruhan pencen pesara kerajaan dan semua majikan kakitangan awam bermula November 2015. – MalaysiaGazette