Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (tengah) memegang obor KL2017 bergambar kenangan bersama pendaki dan maskot RIMAU Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 sempena Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di puncak Gunung Kinabalu, Sabah.

KUALA LUMPUR – Peserta pendakian yang membawa obor sebagai gimik Sukan Sea-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 selamat tiba di puncak Gunung Kinabalu, hari ini.

Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola KL2017 (MASOC), Fahmi Omar berkata, program tersebut yang disertai 23 peserta termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tiba dipuncak gunung berkenaan kira-kira jam 5.55 pagi.

“Acara gimik di Gunung Kinabalu merupakan antara tarikan unik dalam siri Larian Obor KL2017 kerana buat julung kalinya pendakian ini mencipta rekod tersendiri apabila obor dibawa naik menawan gunung tertinggi di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fahmi, rombongan mendaki telah memulakan pendakian dari Pondok Timpohon, Kinabalu Park pagi semalam.

Kumpulan pendaki itu turut disertai dua orang awam yang dipilih melalui cabutan bertuah.

Terdahulu, Khairy membuat pengumuman melalui Twitter menjemput orang awam menyertai ekspedisi membawa Obor KL2017 ke puncak Gunung Kinabalu dan akan memilih dua rakyat Malaysia yang bertuah untuk turut serta. – MalaysiaGazette