KUALA LUMPUR – Sebuah Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah yang merangkumi dua ahli lembaga pengarah FGV, Datuk Dr. Omar Salim dan Datuk Mohd. Zafer Mohd. Hashim bersama Ketua Kluster Logistik Azman Ahmad akan mengambil tanggungjawab Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad yang diarahkan bercuti serta merta.
Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd. Talha turut diarahkan bercuti serta merta.
Menurut kenyataannya di Bursa Malaysia, Pengawal Kewangan Sektor Perladangan, Aznur Kama Azmir pula dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sementara.
Dalam pada itu, Zakaria yang ditemui di lobi Menara Felda pagi tadi berkata, setiausaha syarikat telah bertemu dengannya dan membacakan surat memaksa beliau bercuti sambil disaksikan salah seorang ahli lembaga pengarah FGV, Datuk Dr. Omar Salim dan ketua keselamatan syarikat.
Jelasnya, arahan tersebut dikeluarkan bagi membolehkan FGV menyiasat isu tunggakan bayaran oleh syarikat Safitex bagi produk salah sebuah anak syarikat FGV, Delima Oil Products (DOP).
“Saya tiada masalah dengan arahan tersebut (dipaksa bercuti).
“Tempoh cuti tidak dinyatakan dan jika betul ianya mengikut proses, oklah.
“Ini antara satu perkara yang saya kena hadapi cuma saya tidak menjangkakan sampai begini sekali kerana benda ini bukan besar sangat.
Namun saya terima dengan hati dan tangan terbuka,” katanya lagi
Ketika ditanya mengenai tindakan selanjutnya termasuk tindakan undang-undang, Zakaria berkata, beliau masih menunggu keputusan FGV sebelum memutuskannya.
Namun tegasnya, beliau tidak teragak-agak untuk mempertahankan diri walau apa jua yang berlaku.
Baru-baru ini, penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendakwa Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berusaha menyingkirkan Zakaria daripada jawatannya kerana dianggap “terlalu lurus” dan tidak mahu meluluskan urusniaga “di bawah meja”.
Isa dijangka mengadakan sidang media di Menara Felda jam 1.30 petang nanti. – MalaysiaGazette















