Jerusalem's Jubilee

KUALA LUMPUR – “Penganjuran Jerusalem Jubilee pada 15 hingga 18 Jun depan merupakan usaha terancang pihak tertentu bagi melemahkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia,” demikian menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Hishamuddin Abdul Karim.

Menurut Hishamuddin, sekiranya perkara itu dianjurkan ia akan membawa kepada menyokong agenda dan kempen menyokong Israel di negara ini.

“Program juga dianjurkan dengan kerjasama Jerusalem House of Prayer for All Nations (JHOPFAN); sebuah pertubuhan berpangkalan di Israel dan merupakan organisasi yang giat berkempen menyokong Israel di seluruh dunia. Sekali gus mengesahkan hubungan penganjuran dengan pihak negara haram itu.

“Pihak penganjur turut menyatakan bahawa pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah adalah kerana negara ini merupakan ‘pemangkin kebangkitan’ bagi Asia Tenggara, Asia Pasifik dan negara-negara dalam segmen Golden Gate yang menggerakkan agenda Evangelis Kristian dan Hari Kemerdekaan Israel,” jelas beliau.

Sambil mengakui hak dan kebebasan beragama penganut lain, namun negara tidak harus berkompromi dengan keharmonian, keselamatan dan kedaulatan Malaysia, malah menggesa pihak berkuasa agar menyiasat perkara ini sedalam-dalamnya.

“Kami (Pemuda Pas) menentang keras sebarang usaha mana-mana pihak cuba untuk membawa masuk agenda penubuhan negara Israel dan pelampau Kristian ke dalam negara ini. Pas kekal bersolidariti bersama rakyat Palestin yang sejak sekian lama dizalimi regim Yahudi-Zionis,” katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam mengarahkan Polis Diraja Malaysia supaya mengharamkan perhimpunan Jerusalem Jubilee terbabit.

Penganjuran itu katanya, hanya akan melukakan hati umat Islam jika ia dibenarkan berlangsung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast