Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank melancarkan sebuah Platform Sandbox FinTech serantau bagi menyediakan pelbagai peluang kepada syarikat-syarikat baharu dan para ahli inovasi untuk membangunkan dan menguji pelbagai idea baharu.

Yang pertama seumpamanya di ASEAN, platform Sandbox Maybank merupakan ekosistem FinTech lengkap yang menyediakan semua komponen penting secara percuma untuk mempercepatkan pertumbuhan para pembangun FinTech di seluruh rantau ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, industri FinTech di ASEAN penuh dengan potensi dan bakat serta platform Sandbox Maybank bertujuan untuk mengisi jurang dengan menyediakan pelbagai alatan dan keupayaan untuk bekerjasama dengan bakat-bakat pintar dan bijak di ASEAN.

“Dalam dunia hari ini, kemajuan teknologi dan digital telah mengubah pelbagai industri, mendorong pertumbuhan dan memperkayakan kehidupan. Dalam dunia kewangan, tanggungjawab ini telah diterajui oleh golongan usahawan dan syarikat-syarikat baharu secara keseluruhannya dikenali sebagai FinTech.

Beliau turut berkata, sementara banyak negara ASEAN melabur dalam membangunkan dan memupuk FinTech, pertumbuhan masih perlahan berbanding hab-hab Fintech sedia ada seperti di Amerika Syarikat dan Eropah.

“Memiliki satu idea yang hebat sahaja belum cukup untuk menjual produk. FinTech perlu berupaya untuk membangunkan Produk Minimum Berdaya Maju (MVP) demi menarik minat para pelabur dan pembiaya yang sebenar. Inilah cabaran yang dihadapi oleh banyak FinTech – keupayaan mereka untuk merealisasikan idea kepada penghasilan MVP,” kata
beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan Maybank, Mohd Suhail Amar Suresh berkata, platform Sandbox Maybank mengisi jurang dengan menyediakan FinTech dengan kemudahan persekitaran, alatan, data simulasi, API dan keupayaan untuk mendekati bakat-bakat teknologi dalam persekitaran yang selamat dan terjamin.

Suhail berkata, platform Sandbox Maybank adalah unik disebabkan kemudahan akses kepada para pembangun di rantau ini dan juga seluruh dunia.

Untuk berhubung dengan ahli fikir, ahli akademik, para peniaga dan rakan-rakan seangkatan untuk mencipta penyelesaian lengkap yang inovatif – dalam ekosistem yang menyokong sebarang trend teknologi yang baharu muncul seperti Digital, IoT, Sosial, Cloud dan Open Source.

Platform Sandbox Maybank turut menyediakan para pembangun dengan API perbankan sebenar untuk menggunakan fungsi perbankan sedia ada.

Ia juga menawarkan data simulasi untuk analisis, serta alatan pembangunan bagi membolehkan mereka mencipta aplikasi laman sesawang baharu dan mudah alih.

Suhail juga berkata platform Sandbox Maybank akan membolehkan ahli pasukan daripadapelbagai negara bekerjasama dalam persekitaran maya yang sama, menerusi pertukaranbuah fikiran dan kepakaran.

Platform Sandbox Maybank boleh diakses di www.maybanksandbox.com. – MalaysiaGazette