Home Dunia Air China hampir langgar gunung

Air China hampir langgar gunung

HONG KONG – Sebuah pesawat Air China hampir melanggar gunung di Pulau Lantau pada hari Ahad lalu sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, lapor media tempatan.

Kejadian itu berlaku ketika pesawat CA428 yang menuju ke Chengdu membelok ke selatan ke arah kampung Tai O dan pergunungan di sekitarnya.

Seseorang pegawai kawalan trafik udara terpaksa mengeluarkan amaran dan arahan segera kepada juruterbang untuk membetulkan laluan penerbangan, menurut South China Morning Post (SCMP)

Terbang pada ketinggian 3,400 kaki semasa membelok, pesawat itu jauh di bawah ketinggian selamat minimum bagi kawasan 4,300 kaki, lapor SCMP yang memetik seorang ahli parlimen dari Hong Kong, Jeremy Tam Man-ho.

“Jika pesawat itu membawa lebih kargo atau penumpang atau jika pesawat lebih besar, ia mungkin tidak dapat mencapai ketinggian pada masa itu.

“Seandainya pesawat itu berpaling ke arah pergunungan pada ketinggian yang lebih rendah, anda boleh bayangkan apa kesan-kesan boleh berlaku, kata Tam.

Bagaimanapun, beliau berkata, sistem anti-perlanggaran pesawat telah mengarahkan kapal terbang itu naik lebih tinggi.

Dalam rakaman audio kejadian yang dikongsi oleh Tam untuk SCMP, seorang pegawai trafik udara dilaporkan mengeluarkan arahan kepada juruterbang untuk “belok kanan segera” dan amaran dari “kawasan hadapan”.

Apabila juruterbang tidak mendengar arahan itu, pegawai sekali lagi memberi amaran gunung hadapan dan mengarahkan beliau untuk mendaki pada ketinggian 5,000 kaki dengan segera.

Air China dilaporkan berkata, anak kapal telah bertanya tentang arahan pegawai itu, tetapi disebabkan frequensi radio yang sibuk, juruterbang memutuskan untuk membelok.

Pesawat itu tiba ke destinasi selepas dua jam. – MalaysiaGazette