Johor akan membina stadium bola sepak termoden di Malaysia yang dianggarkan bernilai RM450 juta.

KUALA LUMPUR – Negeri Johor terus mengorak langkah jauh dalam arena bola sepak negara apabila akan membina stadium bola sepak termoden di Malaysia yang dianggarkan bernilai RM450 juta.

Dikenali sebagai Stadium Sultan Ibrahim Larkin,  pembinaannya bakal menjadi mercu tanda baharu negara yang menggunakan khidmat arkitek dari England.

Berita gembira buat rakyat di selatan tanahair itu dikongsi di laman facebook rasmi Johor Southern Tigers apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mendengar taklimat mengenai struktur dan rekaan dalaman terkini stadium berkenaan yang akan dibina di Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

 TMJ (kanan) meneliti lakaran Stadium Sultan Ibrahim Larkin pada sesi taklimat bersama pereka stadium baharu.

“Taklimat tersebut diberikan oleh pereka bentuk dalaman dari England yang menerangkan bahawa rekabentuk stadium baharu ini dibuat berlandaskan konsep penentuan, fokus, berani, transformatif, berbeza dan pertimbangan.

“Rakyat Johor perlu berbangga kerana stadium bola sepak termoden ini terletak di negeri Johor. Luaskan Kuasamu Johor,” menurut laman tersebut.

Turut hadir Datuk Daing Malik dan beberapa wakil dari Country Garden bagi meneliti lakaran terkini stadium yang dijangka siap pada Februari 2019 itu. – MalaysiaGazette