James Comey

WASHINGTON – Bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan mendakwa Donald Trump mendesak beliau menggugurkan siasatan terhadap bekas Penasihat Keselamatan Negara Michael Flynn.

Kenyataan James Comey itu mewujudkan dakwaan baru bahawa Presiden Amerika Syarikat cuba menghalang keadilan.

Dalam pendedahan yang dinanti-nantikan di Capitol Hill, Comey berkata, Trump telah menimbulkan siasatan FBI campur tangan Rusia semasa pilihan raya negara itu dalam pelbagai perbincangan, menyebabkan beliau amat tidak selesa.

“Saya berharap anda boleh melihat jalan yang jelas untuk membiarkan isu ini selesai, membiarkan Flynn pergi. Beliau adalah seorang lelaki yang baik,” Comey memetik kenyataan Trump kepadanya pada 14 Februari ketika mereka sedang berdua di Pejabat Oval.

Comey memberi kenyataan itu di hadapan Senat.

“Saya memahami presiden mahu kami menggugurkan siasatan ke atas Flynn berkaitan dengan kenyataan palsu beliau mengenai perbualannya dengan Duta Rusia pada bulan Disember,” tambah Comey.

Comey dipecat oleh Trump pada awal Mei lalu.

Comey berkata, Trump turut menuntut ikrar kesetiaan dalam mesyuarat White House pada 27 Januari lalu, hanya beberapa hari selepas jutawan Republikan itu mengambil alih jawatan presiden.

“Presiden berkata:” Saya perlu kesetiaan, saya mengharapkan kesetiaan,” kata Comey.

Trump memecat Comey pada 9 Mei, menyatakan kekecewaan yang mendalam berhubung desakan siasatan berterusan terhadap ahli-ahli kempen pilihan raya beliau yang didakwa mendapat bantuan Rusia.

Berikutan itu, Jabatan Kehakiman dinamakan sebagai pendakwa khas dan bekas Pengarah FBI, Robert Mueller untuk memimpin siasatan kerajaan.

Pada masa yang sama, beberapa bekas pembantu utama Trump serta Jared Kushner telah diminta untuk disapina bagi menyediakan maklumat dan keterangan.

Dalam kenyataannya, Comey menjelaskan dia tidak selesa membincangkan tentang siasatan yang sedang dijalankan dengan presiden, walaupun beliau memberi jaminan yang Trump tidak menjadi sasaran dalam siasatan.

Comey tidak menyatakan sama ada dia berpendapat tindakan presiden itu sebagai cubaan menghalang siasatan.

“Saya mungkin salah, tetapi saya mahu beliau memberi tumpuan kepada apa yang baru sahaja berlaku selepas ketiadaan Flynn dan kontroversi panggilan telefon beliau.” katanya.

Pada masa yang sama, Comey teringat panggilan telefon Trump pada 30 Mac lalu.

Trump bertanya kepada Comey bagaimana untuk “selesaikan” siasatan Rusia yang menyukarkan beliau untuk memimpin negara ini.

Trump yang baru tiba dari Cincinnati enggan mengulas berhubung perkara itu. Jurucakap White House, Sarah Huckabee Sanders berkata, kenyataan Comey sedang dikaji. – MalaysiaGazette