Datuk Seri Syed Ali Syed Alhabshee
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Syed Ali Alhabshee membidas langkah pembangkang yang menggunakan isu kemelut Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) sebagai alat politik untuk menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata, pembangkang akan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu tersebut untuk mencari populariti dan bukannya untuk menyelesaikan masalah.

“Pembangkang bagaimanapun begitu cepat menangguk di air keruh berhubung isu FGV dan diharap rakyat terutama peneroka tidak terpengaruh.

“Takkan semua benda yang berlaku termasuk soal kelemahan tadbir urus misalnya, akan dibebankan di atas bahu Najib,” katanya semasa ditemui di dalam program anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di Keramat hari ini.

Menurut beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan dan tidak perlu pihak pembangkang cuba mempolitkkan isu tersebut.

“Pada hemat saya, tak perlu mana-mana pihak menyalahkan antara satu sama lain, biarlah pihak berkuasa jalankan siasatan, jangan ganggu tugas mereka.

“Sekarang isu FGV disiasat pihak SPRM, biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka tanpa ada sebarang gangguan,” ujarnya.

SPRM awal pagi semalam mengambil masa kira-kira lapan jam menggeledah dan mengambil beberapa kotak, bungkusan dan tiga beg tarik daripada pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad di tingkat 45 Menara Felda.

Zakaria sebelum ini dilaporkan sudah mengadakan pertemuan dengan pegawai SPRM.

Manakala Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad belum lagi dipanggil oleh suruhanjaya tersebut.

Kerajaan bagaimanapun telah melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala selaku orang tengah untuk menyelesaikan kemelut FGV.

Tambah Syed Ali lagi, kemelut FGV perlu diselesaikan segera kerana ianya membabitkan kepentingan peneroka dan pelaburan penting negara.

“Kita amat berharap jalan kemelut tersebut dapat diselesaikan segera kerana FGV kini menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Mengenai desakan beberapa pihak terutama pemimpin pembangkang supaya Mohd Isa dan Zakaria meletak jawatan, beliau berkata terpulang kepada pihak terbabit.

“Pada hemat saya, siasatan masih berjalan dan biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka,” katanya. – MalaysiaGazette.