Britain's Prime Minister Theresa May leaves the Conservative Party's Headquarters after Britain's election in London, June 9, 2017. REUTERS/Peter Nicholls

LONDON – Pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah bimbang dengan kekalahan mengejut Perdana Menteri Britain, Theresa May bakal melambatkan rundingan Brexit yang dijadualkan bermula bulan ini seterusnya meningkatkan risiko bahawa rundingan tersebut akan gagal.

Ahli Jerman dalam Suruhanjaya Eropah, Guenther Oettinger berkata, ia masih belum jelas sama ada rundingan tersebut boleh dimulakan pada Isnin, 19 Jun ini sebagaimana dirancang.

Rundingan yang mana EU mahu memastikan pemergian Britain dapat dijalankan dengan licin dari segi undang-undang pada Mac 2019 menjadi semakin tidak jelas tanpa rakan rundingan yang kuat, katanya.

“Kami memerlukan kerajaan yang boleh bertindak. Apabila mengadakan rundingan dengan pihak yang lemah, saya risau ia akan membahayakan kedua-dua pihak.

“Dengan ini saya menjangkakan lebih banyak ketidaktentuan ketika ini,” katanya kepada stesen penyiaran Jerman, Deutschlandfunk.

Rakan sejawatnya di Perancis, Pierre Moscovici berkata, keputusan tersebut akan menjejaskan rundingan tetapi enggan untuk menyatakan sama ada eksekutif EU berharap Britain mungkin mahu kekal bersama kesatuan tersebut.

Beliau memberitahu radio Europe 1, Brexit disokong oleh kebanyakan orang semasa sidang parlimen terdahulu diikuti referendum setahun lalu.

Jadual untuk meninggalkan EU pada 2019 adalah bukan pilihan sebaliknya telah ditetapkan menerusi undang-undang.

Bekas Perdana Menteri Finland, Alexander Stubb pula berpendapat, semua pihak memerlukan masa untuk memulakan rundingan Brexit.

“Nampak seperti kita memerlukan tempoh bertenang sebelum memulakan rundingan Brexit.

“Masa untuk memastikan semua orang bersatu semula,” katanya di laman Twitternya.- MalaysiaGazette