Reaksi Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bercakap pada sidang media turut serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien selepas hadir mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 09 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak menyerahkan segala persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut di Sarawak kepada Ketua Menterinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Jelas Najib, BN hanya akan membantu mana yang perlu dan selebihnya akan digerakkan oleh BN Sarawak.

Ini adalah ujian pertama kepada Abang Johari dalam merencanakan pergerakan jentera BN sebaik dilantik Ketua Menteri, Januari lalu.

“Persiapan PRK Pujut lebih kepada tangan BN Sarawak dan kita (BN) akan bantu mana yang perlu.

“Kita juga akan tentukan calon dalam masa terdekat. Malah saya akan runding dengan Ketua Menteri Sarawak untuk menentukan calon BN yang paling sesuai,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.

Dalam pada itu, UMNO kata Najib mencatat keseluruhan jumlah 300 pendaftaran baharu di semua pejabat cawangan parti itu setiap hari.

“UMNO mencatat penambahan sebanyak 29,845 ahli sehingga Mei dan di atas talian dari 20 April sehingga 31 Mei lepas adalah 15,201 permohonan.

“Kebelakangan ini mereka yang mendaftar ahli UMNO secara peribadi di pejabat UMNO seramai 300 orang pada setiap hari, ini perkembangan,” katanya.

Selepas mengadakan mesyuarat, Najib kemudiannya berbuka puasa bersama komponen BN dan menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari rumah anak yatim sekitar Sabak Bernam dan ibu negara di Dewan Merdeka.

Beliau kemudiannya menunaikan solat Tarawih di Dewan Tun Razak, PTWC. -MalaysiaGazette.