Ketua Biro Publisiti Gerakan DAP Pulau Pinang,, Ooi Zhi Yi.

PULAU PINANG – Parti Gerakan negeri melahirkan kebimbangan dengan kemungkinan lebih banyak tanah rakyat di negeri ini terjual menerusi Enakmen Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang 2017 yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu.

Ketua Biro Publisitinya, Ooi Zhi Yi berkata, perkara itu berikutan enakmen tersebut turut memasukkan ‘kawasan lapang’ yang didakwa tidak ditakrifkan dengan terperinci serta berbeza dengan enakmen serupa di negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang mendedahkan stadium serta tanah lapang di negeri ini yang termaktub di bawah enakmen tersebut.

“Merujuk kepada enakmen itu di negeri-negeri lain, kebanyakannya adalah untuk menguruskan stadium atau kompleks-kompleks sukan.

“Tetapi di Pulau Pinang, enakmen yang diluluskan itu dinamakan Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang 2017 sekali gus mengundang pertanyaan mengapa istilah “kawasan lapang” ditambah di dalam enakmen tersebut?

“Memandangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang telah menjual banyak tanah milik rakyat, kita bimbang lebih banyak lagi tanah akan dijual dengan kuasa yang diperoleh menerusi enakmen tersebut,” katanya semalam.

Enakmen itu diluluskan selepas dibentang dalam sidang DUN lalu yang turut menyaksikan penubuhan Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang iaitu satu perbadanan baharu yang dipengerusikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, lantikan Guan Eng sebagai pengerusi perbadanan itu dipertikai banyak pihak kerana sepatutnya diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuiniti negeri, Chong Eng yang lebih layak.

Dalam pada itu, Zhi Yi turut mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang mendedahkan perancangan ke atas kawasan-kawasan lapang yang bakal diletakkan di bawah tanggungjawab perbadanan tersebut kepada umum.

Menurut beliau, kemudahan seperti stadium, fasiliti sukan dan kawasan lapang sepatutnya dinaik taraf dengan pendekatan perancangan ke arah mewujudkan bandar yang lebih baik dan masyarakat yang lebih sihat.

“Bagaimanapun, kita mestilah memastikan mana-mana enakmen, undang-undang dan peraturan adalah telus untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa,” katanya.- MalaysiaGazette