Suspek berusia 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 1 petang tadi apabila hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan yang melibatkan dirinya.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor menahan seorang Jurutera Daerah di Jabatan Kerja Raya Daerah Kulai hari ini kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 1 petang tadi apabila hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan yang melibatkan dirinya.

Menurut sumber, suspek telah menganugerahkan beberapa projek kerja memotong rumput dan pembersihan di beberapa lokasi dalam daerah Kulai kepada abangnya.

Siasatan awal mendapati, keseluruhan projek yang dianugerahkan kepada abangnya bernilai hampir RM20,000.

Kes tersebut disiasat mengikut seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Johor Bahru esok untuk pertuduhan. – MalaysiaGazette.