Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan pada sesi Dialog TN50 : Warga Sukan di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan dicadangkan supaya mewujudkan tabung khas buat atlet negara di masa akan datang.

Itu antara aspirasi yang dicadangkan para atlet-atlet negara dalam sesi dialog Transformasi Nasional (TN50) bersama warga sukan negara disini petang tadi.

Perkara itu dibangkitkan jaguh pelumba basikal negara, Azizul Hasni Awang dimana perlunya satu inisiatif daripada kerajaan bagi membela nasib para atlet yang menamatkan karier masing-masing tidak lama lagi.

“Aspirasi saya mengenai TN50 adalah kerajaan perlu wujudkan satu tabung khas seperti KWSP khusus untuk atlet yang pernah mewakili negara, baik daripada peringkat bawahan hingga ke peringkat elit.

“Ini adalah untuk memastikan atlet mempunyai masa depan yang terjamin dan selesa. Justeru menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada atlet yang pernah berkorban jiwa dan raga demi menaikkan martabat sukan negara,” katanya.

Menteri bertanggungjawab, Khairy Jamaluddin berkata idea cetusan The Pocketrocket Man itu boleh diketengahkannya oleh pihak kementerian.

Jelasnya, pelaksanaan kearah itu harus diteliti sepenuhnya pihak kerajaan bagi memastikan masa depan atlet negara terjamin.

“Idea yang bagus dan mungkin akan dimasukkan dalam laporan TN50 untuk dipertimbangkan.

“Saya telah melihat isu pasca kerjaya tapi ada permintaan daripada atlet supaya satu skim caruman yang dapat diwujudkan sebagaimana KWSP dimana sebahagian caruman itu dibuat oleh atlet dan pihak kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas hadir sebagai fasilitator dalam Dialog TN50 bersama warga sukan di Majlis Sukan Negara hari ini.

Dalam siri dialog kali ini, 63 aspirasi berkait rapat dengan sukan negara diketengahkan atlet antaranya Datuk Nicol David dan Datuk Lee Chong Wei.

Lebih 1,000 atlet dan penggiat sukan tanahair terlibat pada sesi kali ini.

Dialog TN50 bersama warga sukan negara adalah kali ke 33 dalam siri transformasi berkenaan. – MalaysiaGazette.