Tanda larangan pusingan U yang tidak diendahkan penduduk kawasan berkenaan.

HULU KELANG – Penduduk kawasan Parlimen Gombak di Taman Melawati sudah kecewa dan penat apabila wakil rakyat mereka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak lagi mengambil berat hal ehwal setempat dan bersikap lepas tangan.

Walaupun memiliki wakil rakyat berstatus Menteri Besar Selangor, namun penduduk Taman Melawati seolah-olah tidak dihiraukan dan lebih mengecewakan permintaan penduduk untuk kemudahan yang tidak memerlukan peruntukan puluhan ribu juga gagal dipenuhi oleh Azmin.

Terbaharu, penduduk Taman Melawati hanya meminta CCTV dipasangkan di depan Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) dimana pengguna jalan raya membuat pusingan U secara haram sehingga membahayakan murid-murid di depan sekolah tersebut.

Pengguna jalan raya sering membuat pusingan U secara haram walaupun tanda isyarat larangan sudah diletak, malahan sudah ada kes kemalangan melibatkan murid di sekolah tersebut yang tercedera apabila kereta terbabas.

Aduan sudah dibuat kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenai isu tersebut bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil sehingga sekarang.

Penduduk menyatakan kekecewaan apabila lebih malang lagi, Azmin selaku Ahli Parlimen di kawasan tersebut tidak pernah turun padang untuk mendengar keluhan penduduk mahu meninjau dengan sendiri untuk melihat keadaan yang merbahaya di depan sekolah tersebut.

“Lebih teruk lagi, Menteri Besar adalah wakil rakyat disini!!!” kata Azhari Abd Taharim yang merupakan seorang wakil penduduk di Taman Melawati.

Susulan daripada rasa tidak puas hati, penduduk bertindak membuat satu petisyen untuk menyatakan aduan mereka berhubung perkara tersebut selepas kecewa tidak ada sebarang tindakan tegas diambil untuk menangani isu pengguna jalan raya yang membuat pusingan U haram itu.

Petisyen tersebut boleh ditandatangani disini : https://www.change.org/p/dear-jpj-transport-minister-we-want-road-safety-camera-under-awas-to-be-installed-in-front-of-sktm2-to-protect-the-school-kids

Setakat ini, seramai 626 orang sudah menandatangani petisyen tersebut.

Video pengguna jalan raya yang membuat pusingan U secara haram juga boleh ditonton disini : https://www.youtube.com/watch?v=EGrGZyINrIE

Azmin tahun lalu semasa membentang Bajet Kerajaan Negeri memperuntukan RM1.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan daripada bajet keseluruhan RM3.45 bilion bagi 2017. – MalaysiaGazette