Kementerian Luar, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar hari ini mengesahkan kediaman Duta Malaysia di Chile, Datuk Dr. Mohamad Rameez Yahaya dipecah masuk pada lewat malam semalam.

Kejadian difahamkan berlaku sekitar 11.15 malam (Ahad) waktu tempatan (11.15 pagi Isnin waktu Malaysia).

Kementerian dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan polis Chile melancarkan siasatan mengenai kejadian itu dan telah mengambil keterangan saksi selain mengumpul segala bukti untuk membantu siasatan.

“Wisma Putra memandang berat tentang apa yang berlaku terhadap diplomat kita dan ahli keluarganya di Chile.

“Sebagai barisan hadapan Malaysia di luar negara, sangat mementingkan keselamatan pegawai dan anggota kedutaan besar kita di sana.

“Kementerian akan terus merujuk perkara ini secara serius dengan pihak berkuasa Chile sehingga siasatan dilengkapkan dengan tindakan undang-undang yangs sewajarnya,” sebut kenyataan itu.

Dalam kejadian itu, lima individu difahamkan memecah masuk ke dalam rumah Dr.Mohamad Rameez dan mengikat tangan beliau, isteri dan lima anak mereka.

Mohamad Rameez juga didakwa dipukul di kepala dan perompak mengambil semua barang kemas milik keluarganya termasuk sejumlah wang.

Namun kesemua mereka dilaporkan selamat tetapi masih dalam keadaan trauma mengenangklan kejadian itu.- MalaysiaGazette