Abd. Latif Bandi bersama dua tertuduh yang lain.

JOHOR BAHRU – Bekas Exco Johor, Datuk Abd. Latif Bandi bersama dua yang lain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta.

Selain Abd. Latif, 51, dua yang lain ialah merupakan anak beliau, Ahmad Fauzan Hatim, 25, dan dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub, 44.

Mereka dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Abd. Latif menghadapi 13 pertuduhan bernilai RM17.59 juta, anaknya Ahmad Fauzan Hatim berdepan empat pertuduhan bernilai RM735,000 manakala Amir Shariffuddin didakwa dengan empat pertuduhan bernilai RM17.45 juta.

Ahmad Fauzan Hatim

Ketiga-tiga mereka, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas semua pertuduhan yang dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Hakim membenarkan ikat jamin RM500,000 terhadap Abd. Latif, Ahmad Fauzan Hatim (RM200,000) dan Amir Shariffuddin (RM400,000) masing-masing dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 5 Julai ini, yang akan didengar bersama kes sebelum ini.

Amir Shariffuddin Abd. Raub

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Asnawi Abu Hanifah manakala Abd Latif dan anaknya diwakili barisan lima peguam diketuai Datuk Hasnal Rezua Merican manakala Amir Shariffuddin oleh Azrul Zulkifli Stork.

Terdahulu, ketiga-tiga mereka tiba di perkarangan bangunan Mahkamah Sesyen/Majistret di sini kira-kira 8.50 pagi. Beberapa ahli keluarga mereka turut berada di situ sejak pagi tadi. – MalaysiaGazette.