Tan Sri Khalid Abu Bakar
PUTRAJAYA – Jangan kaitkan penahanan K.Gopinathan, seorang suspek yang ditahan berhubung kes melindungi pusat judi haram di Melaka dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun Khalid mengakui mengenali individu terbabit tetapi perkenalan itu bukan atas sifat perlakuan jenayah yang dilakukan.

“Biasanya seorang pegawai polis mengenali ramai orang, tetapi dalam hal ini jangan kaitkan Khalid dengan kes tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ditanya media berhubung pengakuan Khalid itu selepas merasmikan bengkel pembaharuan pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) di sini hari ini.

Semalam, Khalid dilaporkan mengakui beliau serta anggota keluarganya mengenali suspek itu sama seperti orang lain yang mengenali beliau dan keluarganya.

Khalid juga dilaporkan berkata pihak polis akan memberi kerjasama penuh dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kegiatan judi haram dan rumah urut di Melaka.

— BERNAMA