Kejadian seorang lelaki membunyikan hon ketika solat Jumaat sedang berlangsung di Surau Austin Perdana menimbulkan kekecohan.

JOHOR BAHRU – Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkaman Majistret di sini hari ini kerana melakukan rusuhan sehingga mendatangkan kecederaan di hadapan surau Austin Perdana, Jalan Austin Perdana di sini pada 5 Mei lalu.

Mereka ialah Nor Haszman Hashim, 46; Norfriandika Kesuma Irfandi, 22; Robert Bajak, 55; Hazlan Masahat, 55; Muhamad Akhmarul Naim Amir, 22; dan Toh Chai Eun, 28.

Kesemua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salina Omar.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh dijamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai depan sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, enam mereke didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan kekerasan secara berkumpulan dengan tujuan bersama untuk mendatangkan cedera di hadapan surau Austin Perdana kira-kira 1.30 petang pada 5 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Mohd. Nasir manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette.